fb fb fb fb fb

Pasangan kekasih ditahan, dalang kepada kegiatan penstriman haram

Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR, 27 Mac- Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan pasangan kekasih berusia 53 dan 57 tahun dalam satu operasi pembanterasan kegiatan penstriman haram.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, operasi itu dilakukan pada 14 Mac lalu, di tiga lokasi berasingan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

"Bertindak hasil maklumat kegiatan penstriman haram JSJK, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Astro, melalui kerjasama yang diadakan telah menjalankan siasatan.

"Pengumpulan maklumat sejak tujuh buuan lalu bagi mengesan lokasi server ladang penstriman haram milik sindiket yang didapati mengelola dan membangunkan tiga aplikasi penstriman haram," katanya dalam satu sidang media di ibu negara.

Kedua-dua suspek dipercayai menjadi dalang utama sindiket itu dengan menawarkan kandungan rancangan stesen penyiaran berbayar di negara ini serta beberapa saluran televisyen antarabangsa dengan pakej serendah RM49.

Turut dirampas sejumlah peralatan penstriman, peranti server, perakam video serta beberapa piring satelit yang tidak mematuhi piawaian. Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM100,000.

Siasatan dijalankan bawah Seksyen 43AA(1) Akta Hakcipta 1987.

Dalam kes berasingan, Ramli mengesahkan terdapat sindiket menggunakan kemudahan e-Reporting yang dibangunkan PDRM untuk tujuan penipuan sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kerugian. Modus operandi penipuan itu mula dikesan sejak pertengahan 2023 dan semakin aktif.

Sindiket berkenaan semakin berani dengan membuat panggilan video yang berlatar belakangkan suasana balai polis untuk meyakinkan mangsa membuat laporan di portal berkenaan dengan memberikan butiran peribadi sebelum diperdaya untuk membuat pembayaran dan pemindahan wang.

"Sepanjang tahun 2023, sejumlah 34 laporan polis telah diterima berkaitan modus operandi ini melibatkan nilai kerugian RM1,011,110 manakala bagi tahun ini sehingga 14 Mac, sejumlah 14 laporan polis telah diterima melibatkan nilai kerugian RM960,500," katanya.

Portal e-Reporting dibangunkan PDRM untuk memudahkan orang awam membuat laporan secara dalam talian dikenalpasti digunakan penjenayah bagi tujuan penipuan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI