fb fb fb fb fb

Pangkalan haram tutup, sindiket edar dadah guna laluan laut ke utara

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat/BERNAMA

MACHANG, 13 November- Polis Kelantan memaklumkan sindiket pengedaran dadah kini mengubah modus operandi dengan beralih ke utara dan menggunakan jalan laut bagi membawa masuk bekalan dadah.
 
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata perubahan itu dikesan selepas pihaknya menutup beberapa pangkalan haram dan mengetatkan kawalan sempadan.

"Banyak tangkapan baharu telah direkodkan di Perak, Kedah dan Perlis melibatkan dadah bernilai tinggi dan dalam kuantiti yang besar.

Kejayaan ini dipercayai berpunca daripada kegagalan atau terputusnya laluan pemindahan bekalan dadah dalam kuantiti yang besar dari Kelantan ke wilayah utara," kata Datuk Mohd Yusoff kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui media selepas menghadiri Program Town Hall Discussion Ketua Polis Kelantan 2025: Waspada Jenayah Dadah dan Jenayah Siber di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Machang, di sini.
 
Sementara itu, Datuk Mohd Yusoff memaklumkan penggunaan dadah sintetik termasuk pil kuda yang kini menjadi pilihan penagih sebagai amat berbahaya dan sukar dipulihkan.
 
Kesan penggunaan dadah jenis itu jauh lebih serius berbanding ganja atau heroin yang lebih mudah dirawat.
 
Dalam perkembangan lain, indeks jenayah di Kelantan dilaporkan menurun sebanyak 27 peratus tahun ini, membabitkan kes curi, pecah rumah dan kecurian kenderaan yang menunjukkan trend penurunan konsisten sejak awal tahun.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM