fb fb fb fb fb

Panggilan palsu : Pesara kerugian RM200,000

Gambar fail

KUANTAN, 3 November - Seorang pesara berusia 59 tahun kerugian lebih RM200,000 selepas menjadi mangsa sindiket panggilan palsu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman memaklumkan, mangsa menerima panggilan Februari lepas, daripada individu yang menyamar sebagai wakil syarikat insurans yang mendakwa terdapat tuntutan bernilai RM68,000.

"Panggilan berkenaan, kemudian disambungkan kepada beberapa individu lain yang mengaku pegawai polis dan timbalan pendakwa raya, kononnya mendapati mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

"Mangsa diarah membuka akaun bank baharu dan memindahkan wang kononnya bagi tujuan siasatan, melibatkan 10 transaksi antara April hingga Jun lepas", katanya dalam kenyataan.

Wanita berkenaan, menyedari telah diperdaya telah membuat lapiran di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, semalam.

Orang ramai dinasihat untuk membuat semakan nombor akaun mencurigakan di portal semakmule.rmp.gov.my. atau segera menghubungi talian 997 Pusat Respons Scam Kebangsaan sekiranya mengesyaki menjadi mangsa penipuan.

FAUZIAH ABD RAHMAN