fb fb fb fb fb

'Pak Guard' sekolah cabul murid darjah satu direman enam hari

FOTO HIASAN

IPOH, 2 Februari- Seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah di Teluk Intan ditahan, kerana disyaki mencabul kehormatan seorang murid tahun satu di hadapan sebuah kelas, dalam satu kejadian di sekolah tersebut.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri menerusi satu kenyataan memaklumkan polis bertindak menahan lelaki tempatan berusia 45 tahun itu kelmarin, setelah menerima laporan daripada rakan setugas suspek.

“Kejadian berlaku pada jam 6.30 pagi kelmarin, sewaktu pengadu sedang meronda di kawasan sekolah tersebut.

“Menurut pengadu, suspek telah bertindak memeluk dan mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan yang berusia tujuh tahun di hadapan kelas sekolah tersebut, sebelum menahan suspek pada hari yang sama di tempat kejadian,” katanya.

Ahmad Adnan berkata menurut mangsa, suspek telah beberapa kali melakukan perbuatan mencabul mangsa di sekolah yang sama dan hasil soal siasat awal yang dijalankan ke atas suspek, dia mengaku terlibat dengan perkara tersebut.

Beliau berkata suspek kini direman enam hari sehingga 6 Februari untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan juga sebatan,” katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE