IPOH, 2 Februari - Seramai 131 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Bidor di Tapah dilaporkan telah melarikan diri kira-kira pukul 9.50 malam tadi.
Kesemua mereka yang lolos terdiri daripada 115 lelaki etnik Rohingya dan 16 lelaki warganegara Myanmar.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam satu kenyataan memaklumkan, dalam kejadian itu seorang daripada tahanan itu dilaporkan maut dalam kemalangan di Kilometer 335, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Bidor.
"Pencarian kesemua tahanan yang lolos kini giat dilakukan menerusi Op Tutup di beberapa kawasan termasuk daerah Muallim bagi menjejaki mereka," katanya.
Siasatan dijalankan dengan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Perak serta JSJ Bukit Aman.
Kes disiasat bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan Depot Imigresen Bidor di talian 05-4348736, Balai Polis Bidor (05-4342222) dan Balai Polis Tapah (05-4011222).
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata seramai 100 lagi anggota ditambah terdiri daripada Jabatan Imigresen dan Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi mengesan 130 tahanan yang lolos.
Kesemua anggota itu telah diatur gerak pada pagi ini untuk meneruskan operasi pencarian.
Beliau berkata 275 anggota daripada pelbagai agensi seperti imigresen, PGA dan Jabatan Sukarelawan telah dikerahkan sejak malam tadi untuk mengesan tahanan berkenaan.
“Jabatan Imigresen dengan kerjasama beberapa agensi lain sedang giat menjalankan operasi bagi menangkap semula 130 tahanan dari 131 tahanan yang melarikan diri pada 9.50 malam tadi," katanya.