KUCHING, 2 Februari - Lima kumpulan yang aktif mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) tumpas di dua kawasan berasingan di Bintulu dengan tertangkapnya 15 individu dalam Op Bersepadu.
Ketua Polis Daerah Bintulu Supt Nixon Joshua Ali berkata kesemua suspek berusia antara 16 hingga 65 tahun ditahan pada Isnin dan Selasa lalu.
"Modus operandi kumpulan yang mencuri kabel ini ialah dengan memotong kabel yang terdedah di tepi jalan, kemudian memasuki terowong tempat penyambungan kabel.
"Anggaran kerugian akibat kecurian kabel pula sebanyak RM500,000," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Nixon berkata, dalam operasi itu, 11 suspek daripadanya warga tempatan, manakala empat lagi warga asing.
"10 orang daripada suspek yang ditahan telah didakwa ke mahkamah, manakala lima orang lagi masih dalam siasatan," katanya.
Beliau berkata kes kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana disyaki mencuri kabel.