SEREMBAN, 12 Disember- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan merampas 116,623 liter diesel disyaki bersubsidi dianggarkan bernilai RM250,739.45 dalam lima serbuan Ops Tiris di daerah ini dan Kuala Pilah, awal bulan ini.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan memaklumkan menerusi serbuan itu, pihaknya menyita beberapa lori, 12 tangki intermediate bulk container (IBC), 10 pam berserta hos keseluruhannya dianggar bernilai RM402,402.45.
"Tujuh lelaki tempatan telah ditahan selepas disyaki melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya dalam serbuan pertama pada 3 Disember lalu, anggota KPDN Cawangan Kuala Pilah merampas 2,500 liter diesel dan satu unit pam khas diubah suai hasil pemeriksaan terhadap sebuah lori tangki yang didapati kerap berhenti mengisi minyak di stesen minyak sekitar Bahau dan Kuala Pilah.
Dalam serbuan kedua pada keesokannya, KPDN merampas 500 liter diesel, enam tangki IBC berserta pam dan hos hasil pemeriksaan terhadap sebuah lori selepas mengekori pergerakan kenderaan terbabit yang kerap membuat pengisian minyak di stesen minyak sekitar bandar raya ini.
Dua pemandu lori terlibat katanya masing-masing lelaki tempatan kini ditahan untuk membantu siasatan.
Selain itu, serbuan turut dilakukan bersama pihak polis Bukit Aman terhadap sebuah premis milik pemborong berlesen minyak diesel dan menemukan 106,500 liter minyak diesel di dalam dua lori tangki dan empat unit tangki skid dalam premis tersebut pada 5 Disember lepas.
"Tiga lelaki warga tempatan ditahan di lokasi berkenaan selepas disyaki melanggar Seksyen 21 AKB 1961 kerana memiliki barang kawalan bersubsidi jenis bahan api diesel melebihi had liter dibenarkan dalam lesen," katanya.
Sementara dalam serbuan keempat, Muhammad Zahir berkata pihaknya merampas enam tangki IBC berisi 4,500 liter diesel berserta pam dan hos hasil pemeriksaan terhadap sebuah lori yang sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Jalan Lama Tampin, di sini.
Beliau berkata pemandu lori itu yang merupakan seorang lelaki tempatan turut ditahan manakala serbuan terakhir merampas 2,623 liter minyak diesel hasil pemeriksaan terhadap sebuah premis dijadikan tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi di Green Technology Park, di sini pada 9 Disember.
"Seorang lelaki tempatan yang mengaku sebagai pekerja di premis berkenaan ditahan disyaki melakukan kesalahan melanggar Seksyen 21 AKB 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
"Bagi siasatan lanjut , sebanyak lima kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 21 AKB 1961,” katanya.