BUTTERWORTH, 12 Disember- Seorang bekas pengarah didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan memindah keluar wang syarikat lebih RM55,000 tiga tahun lalu.
Tertuduh Tai Chun Wei, 39 tahun, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof dalam Bahasa Mandarin.
Mengikut pendakwaan, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengarah syarikat dan membuat pemindahan wang ke syarikat milikan tunggal miliknya tanpa membuat mesyuarat agung.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 4 Februari 2020 di Icon City, Bukit Mertajam.
Kesalahan dilakukan bawah Seksyen 218 (1) (C) Akta Syarikat 2016 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM3 juta tau atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qatrin Nada Harun, tertuduh diwakili peguam Eng Yuh Pei.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM12,000 beserta seorang penjamin.
Kes disebut semula pada 17 Januari depan.
Terdahulu, suasana diperkarangan mahkamah menjadi kecoh apabila beberapa individu dipercayai keluarga tertuduh mendekati van polis lalu menerpa ke arah tertuduh untuk menutup wajahnya daripada dirakam media.
Selain itu turut berlaku kekasaran dan tolak-menolak ketika tertuduh diiringi ke lokap polis.