KOTA BHARU, 26 Jun- Polis Kelantan berjaya merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai hampir RM99,000 dalam Ops Tapis Khas yang dilaksanakan selama enam hari bermula 20 Jun sehingga hari ini.
Seramai 240 orang turut ditahan selain sitaan bernilai RM57,000 dalam tempoh tersebut.
Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, terdapat dua kes rampasan besar di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Kes pertama melibatkan rampasan hampir 3,000 biji pil yaba, 3.7 gram syabu dan air ketum dengan nilai lebih RM30,000.
Manakala, bagi kes kedua melibatkan rampasan hampir 700 kilogram daun ketum dengan nilai RM21,000.
"Jadi pihak narkotik juga lain- lain cawangan secara bersepadu kita akan terus menjalankan Ops Tapis khas ini dan kita akan fokus di kawasan yang kita kenal pasti dan kita akan pastikan tokan- tokan di kawasan itu sama ada ditangkap atau diambil dibawah undang- undang pencegahan," katanya.
(Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun)
Muhamad Zaki berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu.
Sementara itu mengulas perkembangan kanak-kanak empat tahun yang kritikal disebabkan terambil dadah minggu lalu jelas beliau, kanak-kanak terbabit masih dalam rawatan di Hospital Ismail Petra Kuala Krai serta masih memerlukan bantuan pernafasan.
Pihaknya masih menahan reman suspek selama lima hari lagi untuk siasatan menyeluruh.