fb fb fb fb fb

Ops Rentap Trio: Polis tumpas geng samun, ragut di 4 negeri

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Habibi Majinji (tiga, kiri) menunjukkan pelbagai barangan rampasan antaranya helmet, pakaian dan rim motosikal ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Mei - Lapan individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam 45 kes melibatkan ragut, samun dan curi motosikal di sekitar ibu negara, Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Habibi Majinji berkata, kesemua yang ditahan di bawah "Ops Sentap Trio" itu terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 30-an.

Datuk Habibi berkata, polis turut menyita 10 motosikal serta merampas pelbagai barangan antaranya topi keledar, pakaian dan rim motosikal.

"Dua lelaki dan seorang wanita ditahan pada 28 Mac di sebuah rumah tumpangan di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan manakala suspek lain ditahan di sekitar Kuala Lumpur pada Isnin lepas.

"Soal siasat telah dijalankan dan mendapati kumpulan ini bergiat aktif melakukan samun sekitar Kuala Lumpur.

"Sebanyak 40 kes samun dan ragut dan lima kes kecurian motosikal. Ini termasuk jumlah kejadian kesalahan jenayah yang mereka lakukan dan polis dapat menyelesaikan 45 kes keseluruhan," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 379A dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun dan curi kenderaan.

Menurut Datuk Habibi, modus operandi kumpulan itu adalah mereka menyasarkan mangsa di kawasan tumpuan pelancong sekitar ibu negara pada hujung minggu.

"Salah seorang suspek wanita yang merupakan pembeli barang kes jenayah (emas) telah dibebaskan dengan jaminan dan akan dijadikan saksi pendakwaan di mahkamah esok,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN