fb fb fb fb fb

Mahkamah Tinggi tolak permohonan Lim, isteri dan Phang untuk batal tuduhan rasuah

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini menolak permohonan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (dua, kiri) dan isterinya, Betty Chew (kiri) serta ahli perniagaan, Phang Li Koon untuk membatalkan pertuduhan rasuah melibatkan projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta dan pengubahan wang haram/Foto BERNAMA

GEORGE TOWN, 3 Mei - Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini menolak permohonan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, isterinya Betty Chew, dan ahli perniagaan Phang Li Koon untuk membatalkan pertuduhan rasuah melibatkan projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta dan pengubahan wang haram.

Pesuruhjaya Kehakiman Rofiah Mohamad dalam penghakiman ringkasnya berkata doktrin autrefois acquit yang dihujahkan pihak pembelaan tidak terpakai kerana tidak memenuhi syarat.

Beliau berkata mahkamah mendapati terdapat perbezaan yang ketara antara pertuduhan dalam prosiding pertama (pembelian banglo oleh Lim di Jalan Pinhorn) dengan kes hari ini.

“(Perbezaan itu termasuk) dari segi tarikh kesalahan yang dikatakan dilakukan; kedudukan (jawatan tertuduh) semasa kesalahan dikatakan dilakukan; suapan yang dikatakan adalah bagi manfaat pihak yang berbeza, tindakan yang dikatakan dilakukan oleh tertuduh bagi melakukan kesalahan adalah berbeza dan jenis kesalahan juga berbeza.

“Oleh itu, syarat pemakaian doktrin iaitu pertuduhan adalah sama atau melibatkan fakta dan pembuktian yang sama dan seharusnya boleh ditangani dalam prosiding pertama tidak dipenuhi. Terdapat perbezaan besar dalam dakwaan kesalahan yang berlaku. Jadi, kes mesti diteruskan,” katanya.

Pada 26 Mei 2023, Lim, Chew dan Phang memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram atas alasan pihak pendakwaan menggunakan keterangan daripada kes terdahulu membabitkan pembelian banglo oleh Lim di Jalan Pinhorn, walaupun beliau dibebas dan dilepaskan pada 2018.

Rofiah berkata jelas dalam prosiding pertama, walaupun 25 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, tiada sebarang dapatan yang dibuat berdasarkan keterangan saksi atau berdasarkan fakta terbukti melalui perbicaraan terbabit mengenai kebersalahan ataupun sebaliknya tertuduh atas pertuduhan yang dikenakan.

“Hal ini kerana perintah pembebasan dan pelepasan tertuduh dalam prosiding pertama adalah susulan daripada keputusan pihak pendakwaan untuk menghentikan atau tidak meneruskan pendakwaan tertuduh dalam prosiding pertama dengan menarik balik pertuduhan pada tahap kes berkenaan masih lagi di peringkat sambung bicara.

“Pembebasan itu bukan berdasarkan penghakiman oleh mahkamah terhadap keterangan yang ada dalam prosiding pertama atau dalam kata lain arahan pembebasan bukan berdasarkan merit," katanya yang kemudian menetapkan 26 Julai ini bagi pengurusan kes itu.

Lim, Chew dan Pang diwakili barisan pembelaan diketuai Datuk V. Sithambaram, RSN Rayer, Ramkarpal Singh, P. Thandayuthabany dan A. Ruebankumar, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir, Ashrof Adrin Kamarul dan Shafiq Hasim.

Mengikut pertuduhan, Lim didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah menggunakan kedudukan untuk suapan iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan bernilai RM11,610,000 yang Chew secara tidak langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan terbabit antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016 di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar di George Town mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Phang pula didakwa bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Lim dalam melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama dan boleh dihukum di bawah seksyen dan hukuman serupa.

Chew didakwa atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM372,009 daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang telah dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu pada tarikh berbeza antara 7 Oktober 2013 dan 4 Ogos 2014, 3 September 2014 dan 11 Ogos 2015 serta 4 September 2015 dan 3 Mac 2016 di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika ditemui pemberita, Rayer berkata pihaknya akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi sebelum memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dan membuat permohonan untuk menggantung perbicaraan di Mahkamah Tinggi sehingga Mahkamah Rayuan membuat keputusan. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN