fb fb fb fb fb

Bapa disyaki dera anak perempuan usia dua tahun ditahan

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 3 Mei- Polis menahan seorang lelaki yang disyaki mendera anak perempuannya berumur dua tahun di sebuah rumah di Taman Pinggiran Cheras, Jalan Kuari, Ampang di sini dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang, ACP Mohd Azam Ismail berkata lelaki berumur 37 tahun itu ditahan pada 10.30 malam susulan laporan yang dibuat nenek mangsa Ahad lepas, setelah mendapati cucunya itu mengalami luka di bahagian kepala, lengan selain terdapat kesan melecur.

Beliau berkata kanak-kanak yang tinggal bersama ibu bapa dan adik perempuannya berumur setahun itu memberitahu neneknya bahawa dia didera semasa berada di rumah.

Kanak-kanak itu dilaporkan sedang menerima rawatan di Hospital Ampang.

Menurut kenyataan, siasatan awal mendapati terdapat kesan cedera lama dan baharu pada badan kanak-kanak itu, dan suspek disyaki mendera kanak-kanak itu kerana dikatakan lasak.

Mohd Azam berkata saringan ujian air kencing mendapati suspek yang bekerja sambilan sebagai penghantar minyak itu positif dadah, dan mempunyai satu rekod lampau membabitkan kes narkotik.

Suspek kini direman hingga 8 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI