fb fb fb fb fb

Ops Khas TBC 2024: JPJ keluarkan lebih 57,000 notis pelbagai kesalahan

Datuk Lokman Jamaan ditemui media selepas meninjau Ops Khas Tahun Baharu Cina di Shah Alam

SHAH ALAM, 10 Februari- Sebanyak 57,110 notis membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan sepanjang pelaksanaan Ops Khas Tahun Baharu Cina (TBC) 2024 bagi tempoh 1 Februari hingga 8 Februari lalu.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata 23 peratus daripadanya merupakan kesalahan kegagalan mematuhi peraturan keselamatan jalan raya.

Beliau juga menyifatkan tahap kesedaran dan kepatuhan terhadap aspek keselamatan jalan raya masih rendah terutama melibatkan pemandu kenderaan komersial.

"Statistik pengeluaran notis kenderaan yang diperiksa untuk kenderaan pengangkutan awam membabitkan sebanyak 10,468 dan kenderaan perkhidmatan barangan 41,396 telah diperiksa, kenderaan yang diambil tindakan adalah sebanyak 338 bagi kenderaan perkhidmatan awam meliputi pelbagai kesalahan, kesalahan membabitkan pengangkutan awam sangat serius kerana membawa penumpang di jalan raya iaitu perkhidmatan bas.

"Sementara bagi kenderaan perkhidmatan barangan sebanyak 5,965 notis dikeluarkan dan kita telah sita sebanyak 14 buah kenderaan pengangkutan awam serta dan kita tidak benarkan mereka berada di atas jalan raya kerana pelbagai kesalahan,"katanya.

Lebih membimbangkan, pihak JPJ turut menahan seorang pemandu bas perkhidmatan awam yang membawa pelancong namun tidak mempunyai lesen memandu.

Sehubungan itu, JPJ akan terus meningkatkan tindakan penguatkuasaan melalui Ops Khas seumpama bagi memastikan pengguna termasuk pihak syarikat, pemilik dan pemandu kenderaan komersial mematuhi peraturan-peraturan ditetapkan.

Datuk Lokman Jamaan ditemui pemberita pada sidang media selepas Ops Khas Tahun Baharu Cina di Shah Alam tengah malam tadi.

Sebanyak 243,257 kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa oleh JPJ menerusi Ops Khas yang dilaksana bermula 1 hingga 8 Februari lalu.

Ops Khas Sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina dan cuti persekolahan ini akan dilaksanan selama sebulan mulai 1 Februari hingga 29 Februari depan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE