IPOH, 6 Oktober- Sebanyak 25 premis perniagaan sekitar Ipoh diserbu selepas didapati menjalankan kegiatan perjudian dalam talian menerusi Ops Dadu yang dijalankan sejak dua minggu lalu.
Kesemua premis dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Yahaya Hassan berkata tindakan itu diambil setelah risikan dan pemantauan dijalankan pihaknya ke atas premis tersebut.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa premis pernah diserbu dan diambil tindakan sebelum ini.
"Kebanyakan premis ini ada yang menjual alat-alat telekomunikasi, ada yang menjalankan perniagaan kedai runcit. Mereka ini dilihat seolah-olah bertopengkan perniagaan yang sah ini, sebaliknya menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang negara," katanya selepas operasi di sebuah premis di Jalan Jelapang Taman Jati di sini.
Dalam operasi itu, seorang pekerja premis dipercayai sedang menjalankan kegiatan perjudian haram berkenaan turut ditahan.