fb fb fb fb fb

OP Taring: PGA Sarawak rampas barang subsidi cecah RM1.16 juta

Sebahagian barangan seludup dan kenderaan yang dirampas PGA Sarawak dalam lima serbuan berasingan menerusi Op Taring di sekitar Bau, Serian dan Tebedu./Foto PGA Sarawak

KUCHING, 7 Julai - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM1.166 juta dalam lima serbuan berasingan di beberapa lokasi sekitar Bau, Serian dan Tebedu.

Operasi menerusi Op Taring Bravo dan Op Taring Awas/Batas itu bermula dari 30 Jun hingga 5 Julai lalu.

Komander Briged Sarawak PGA, SAC Dr Che Ghazali Che Awang, berkata operasi itu membawa kepada penahanan lima lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 52 tahun.

“Rampasan melibatkan 15,500 kilogram makanan sejuk beku, 600 liter minyak diesel, 576 kilogram gula bersubsidi dan 145 karton rokok putih tidak bercukai, selain lima kenderaan pelbagai jenis turut disita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua rampasan telah diserahkan kepada agensi penguat kuasa berkaitan untuk siasatan lanjut mengikut pelbagai akta termasuk Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967, dan Veterinary Public Health Ordinance 1999.

Tambah beliau, sepanjang pelaksanaan Op Taring sejak 1 Jan lepas hingga 7 Julai, PGA Briged Sarawak mencatat nilai keseluruhan rampasan RM291.6 juta, dengan 360 tangkapan termasuk 91 warga asing, serta 197 kenderaan disita.

GRACE AISYAH KEDAYAN