KUALA LUMPUR, 12 Mac- Tiga orang warga asing ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur untuk siasatan kes penipuan dan pemalsuan dokumen melibatkan pendatang asing di negara ini, awal pagi tadi.
Dua warga Pakistan dan seorang warga Filipina itu ditahan menerusi Op Serkap di sebuah kondominium di sini.
Salah seorang daripada suspek didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Turut dirampas , komputer riba, mesin pencetak dan beberapa pasport.
Ketiga-tiga warga asing tersebut kemudian dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Kesemua suspek berusia antara 30 hingga 45 tahun itu ditahan bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (AKTA 155).