fb fb fb fb fb

Kes pelanggan wanita tumbuk 'cashier' hamil di Johor disiasat -Polis

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang pelanggan wanita menumbuk juruwang

JOHOR BAHRU, 12 Mac- Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan mengesahkan seorang wanita hamil yang juga juruwang di sebuah pasar raya di Southkey, Johor Bahru, Johor, mengalami lebam di muka selepas ditumbuk pelanggan wanita dalam kejadian, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa berusia 25 tahun tampil membuat laporan polis pada hari yang sama.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 3.20 petang di sebuah premis dalam pusat beli-belah di Johor Bahru.

"Punca kejadian dipercayai suspek tidak berpuas hati kerana terpaksa menunggu lama bagi membatalkan pembelian barang.

"Mangsa mengalami bengkak di bahagian bawah mata kiri," katanya. Suspek turut membuat laporan di Balai Polis Majidee pada Ahad lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dari satu tahun atau denda tidak lebih RM2,000.00 atau kedua-duanya.

Terdahulu, tular video di media sosial Facebook akaun Zuriani Mahmood, memaparkan insiden perselisihan faham apabila pelanggan wanita berkenaan dilihat menumbuk wajah juruwang itu sebelum meninggalkan kaunter premis.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE