BAYAN LEPAS, 12 Januari- Sebanyak 60 motosikal disita manakala 170 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Lebuhraya Dr Lim Chong Eu awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Sazalee Adam berkata, operasi yang dijalankan sebagai usaha membanteras kegiatan mat rempit itu bermula pukul 4 pagi selepas polis bertindak hasil aduan pengguna jambatan dan risikan.
Jelasnya, pelbagai aksi lagak ngeri seperti membonceng motosikal seperti lagak ‘Superman’ dipaparkan golongan mat rempit di kawasan berkenaan.
Operasi dijalankan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPD Barat Daya dengan kerjasama JSPT IPK Pulau Pinang.
"Dalam operasi yang kita jalankan, 120 buah motosikal telah diperiksa, selepas membuat tapisan, 60 buah motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan trafik.
"Daripada itu kami berjaya mengesan sebuah motosikal yang menggunakan nombor pendaftaran palsu, begitu juga dengan enjin. Susulan itu, penunggang berkenaan ditahan lanjut bagi mengetahui sama ada motosikal terbabit miliknya atau kenderaan curi," katanya.
Sementara itu, dalam operasi sama di kawasan Lebuhraya Dr Lim Chong Eu berhampiran Seagate yang sering menjadi tumpuan geng mat rempit berlumba haram, polis menahan lapan lelaki berusia 20-an kerana berlumba haram dan menyita lapan motosikal.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.