JOHOR BAHRU, 29 Ogos- Seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana disyaki menjadi dalang terhadap sindiket jenayah seksual melibatkan kanak-kanak.
Penangkapan dibuat Johor Bahru, Johor menerusi Op Pedo yang dijalankan antara 19 Julai hingga 19 Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata pemeriksaan telefon bimbit menjumpai puluhan rakaman video dan dan ratusan gambar penganiayaan seksual kanak-kanak.
"Suspek mengiklankan di Facebook kononnya berminat untuk mencari anak angkat. Selepas iklan itu tular, wanita hamil luar nikah yang tidak mempunyai pasangan akan menghubungi suspek.
Suspek kemudian menawarkan untuk menampung kos perubatan dan persalinan sehingga wanita berkenaan melahirkan anak," kata Datuk M. Kumar kepada pemberita, hari ini.
Dalam operasi itu, 10 individu termasuk lapan warga asing berusia 25 hingga 60 tahun yang berperanan sebagai pengasuh kanak-kanak turut ditahan di Johor, Selangor dan Pulau Pinang bagi membantu siasatan.
Tiga kanak-kanak perempuan dan dua bayi lelaki berusia antara dua bulan hingga lima tahun yang berada dalam kawalan suspek, turut diselamatkan dalam operasi itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 5, Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.