LABUAN, 5 Mac - Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), menerusi serbuan Ops Kutip awal petang Isnin.
Menurut Pengarah JIM Labuan Raymond Entalai,berdasarkan aduan orang ramai, enam pegawai Unit Aduan Risikan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan Imigresen memeriksa 15 individu yang sedang berkelah di sekitar kawasan Pantai Tanjung Batu.
Enam perempuan dan dua lelaki warga Filipinan berumur antara 18 hingga 22 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Raymond turut menjelaskan, Imigresen Labuan akan sentiasa prihatin dengan aduan dan maklumat yang diberikan oleh orang awam serta tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram di negara ini.
Tambah Raymond, tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi pendatang tanpa izin (PATI) di pulau itu.
Orang ramai yang ingin membuat aduan, boleh menyalurkan maklumat melalui talian 087-421 296 atau menerusi portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).