IPOH, 5 Mac - Dua rakan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh atas dua pertuduhan menyamar sebagai pegawai Imigresen pada Februari lalu.
Bagaimanapun, M. A Sarvin Raj dan Harjit Singh Sulakhan Singh masing-masing 26 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Siti Nora Sharif.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua rakan itu didakwa secara bersama memperkenalkan diri sebagai pegawai Imigresen kepada seorang warga asing di sebuah rumah di Taman Klebang Jaya,Chemor Ipoh, kira-kira pukul 3 petang pada 25 Februari lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Klebang Jaya, Chemor pada 25 Februari lalu.
Bagi pertuduhan kedua, mereka secara bersama-sama didapati berpura-pura memegang jawatan penjawat awam dengan menyamar sebagai pegawai imigresen.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Kampar, Pekan Bharu, Ipoh kira-kira pukul 10.30 pagi pada 26 Februari lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak 1-ribu 800 ringgit bagi pertuduhan pertama dan 1-ribu 400 ringgit bagi pertuduhan kedua.
Mahkamah turut menetapkan 4 April depan sebagai sebutan semula kes.