ALOR SETAR, 19 Januari - Lebih RM615,000 nilai rampasan dan sitaan peralatan perikanan terlarang menerusi Op Khas dengan kerjasama Jabatan Perikanan (DOF) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM).
Selain kawasan daratan, operasi yang dilakukan selama lima hari sejak 15 Januari lalu, turut memfokuskan perairan di Negeri Kedah dan Perlis.
Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (DOF) (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata menerusi operasi itu, 22 kes dengan 14 kes daripadanya, membabitkan kapal penangkapan ikan yang melanggar Akta Perikanan 1986 dan syarat lesen.
"Hasil operasi ini terdapat 22 kes tangkapan yang melibatkan 14 kes berkaitan vesel penangkapan ikan yang melakukan kesalahan sama ada melanggar akta perikanan 1985, pelanggaran lesen, lapan kes merupakan kes sitaan peralatan-peralatan dilarang yang kita dapati bahawa sebanyak 1,494 unit bubu naga, 34 set rawa sorong, 11 bidang pukat rawa sorong dan 13 unit bot fiber yang tidak berlesen," katanya pada sidang media, di sini.
Tambah Wan Muhammad Aznan, kesemua bot dan barang sitaan kini berada di Pangkalan MCS Kuala Kedah, Pangkalan Maritim Kuala Perlis dan Pangkalan Maritim Kuala Kedah bagi tujuan pengurusan kes.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 bagi kes melibatkan kapal penangkapan ikan tempatan.
Manakala bagi kes sitaan pula, siasatan dilakukan dibawah Seksyen 11 (3)(a), Seksyen 11 (3)(c) Akta Perikanan 1985 dan pelanggaran Peraturan 2, Larangan Cara Menangkap Ikan 1980.