fb fb fb fb fb

Bau kimia bongkar kegiatan proses ubat batuk di rumah sewa

Cecair disyaki ubat batuk dalam tong yang dirampas pihak kastam

KANGAR, 19 Januari- Taktik menjadikan rumah sewa sebagai makmal memproses ubat batuk terbongkar apabila lokasi berkenaan diserbu oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis, Selasa lalu.

Rumah yang terletak di Sungai Padang, Simpang Empat itu diserbu sekitar pukul 2.30 petang oleh sepasukan anggota dari Cawangan Penguatkuasaan/Marin dan Cawangan Siasatan Khas JKDM Perlis.

Pengarah JKDM negeri, Ismail Hashim berkata, serbuan dibuat selepas mendapat maklumat mengenai aktiviti menghasilkan dadah susulan bau bahan kimia.

Pihaknya percaya ubat batuk yang dihasilkan untuk pasaran tempatan dengan harga sekitar RM5 menggunakan label palsu seperti ubat batuk sedia ada di pasaran.

"Jumlah keseluruhan cecair ubat batuk yang dirampas adalah sebanyak 8,100 botol ubat batuk yang telah siap dibotolkan (dan) 1,000 liter disyaki cecair ubat batuk dalam tong yang belum dibotolkan. Nilai keseluruhan (rampasan) ubat batuk dianggarkan sebanyak RM271,500.

"Turut dijumpai juga adalah mesin pemprosesan, bahan-bahan pembungkusan serta bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan ubat batuk," katanya pada sidang media di sini.

Serbuan juga berjaya menahan dua orang lelaki masing-masing warga tempatan serta Thailand berusia 28 dan 54 tahun.

Kedua-dua suspek diberi jaminan kastam dan kes disiasat bawah Seksyen 9(2) Akta Racun 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) akta sama.

1901 JKDM UBAT BATUK 2Antara barang rampasan pihak kastam

SITI AISHAH BINTI MD ISA