fb fb fb fb fb

Jual Bayi: Bekas pembantu tadbir dihukum penjara lima tahun, denda RM90,000

KUALA LUMPUR, 19 Januari - Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM90,000 terhadap seorang bekas pembantu tadbir sebuah maktab yang didapati bersalah atas pertuduhan memperdagang bayi lelaki 13 bulan dan menggunakan dokumen palsu untuk mendaftarkan kelahiran bayi itu, empat tahun lepas.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas memutuskan pembelaan Nurul Faizan Ahmad Asri, 40, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Ketika membacakan penghakiman ringkasnya, Azura berkata terdapat pemindahan milikan antara ibu kandung bayi dan seorang saksi yang membuktikan inti pati kes di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Pembelaan tertuduh bahawa pemindahan milikan bayi tersebut bertujuan untuk membantu ibu kandungnya dan pemindahan tidak melibatkan wang ringgit hanyalah penafian semata-mata.

"Penafian tertuduh bahawa dia tidak mengetahui isi kandungan sampul surat yang mengandungi dokumen palsu untuk mendaftar kelahiran bayi itu juga adalah penafian semata-mata,” katanya.

Nurul Faizan didakwa melakukan kesalahan itu di Hospital Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini pada 5 petang 5 Nov 2020 mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara minimum tiga tahun atau maksimum 20 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan Borang Daftar Kelahiran Jabatan Pendaftaran Negara palsu atas nama bayi itu di jabatan itu di Jalan Sri Hartamas 1 di sini pada 10.30 pagi, November 2020 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Mahkamah menjatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM80,000 atau penjara 24 bulan bagi kesalahan memperdagang bayi manakala bagi pertuduhan kedua, Nurul Faizan dikenakan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan.

Azura memerintahkan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi namun menolak penangguhan pembayaran denda dan mengarahkan ia dibayar hari ini.

Seramai 13 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 1 Sept 2022.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim dan Nadia Izhar manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Hafiz A Bakar dan Marisha Dianah Md Darus. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN