fb fb fb fb fb

Terlibat sindiket judi dalam talian, empat warga Nepal ditahan

Pihak polis telah merampas peralatan komputer termasuk tiga unit komputer riba dan modem Internet, selain 10 unit telefon bimbit, kerusi, meja dan peralatan menulis di premis tersebut.

GEORGE TOWN, 19 Januari - Empat lelaki warga Nepal berusia 27 hingga 32 tahun ditahan di sebuah apartment di Tanjong Tokong, di sini kerana disyaki terlibat dalam sindiket perjudian dalam talian yang mengaut keuntungan RM15,000 hingga RM20,000 sebulan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Razlam Ab. Hamid berkata premis tersebut telah beroperasi selama tiga bulan dan empat warganegara Nepal itu telah ditawarkan gaji RM1,500 sehingga RM2,000 sebulan.

"Modus operandi yang digunakan adalah dengan menggunakan aplikasi Facebook mengguna telefon dan internet untuk mempromosikan pelbagai permainan perjudian dalam talian dengan mensasarkan pelanggan di Nepal," katanya pada sidang media, di sini.

Tambah Razlam, hasil serbuan, pihak polis telah merampas peralatan komputer termasuk tiga unit komputer riba dan modem Internet, selain 10 unit telefon bimbit, kerusi, meja dan peralatan menulis di premis tersebut.

Beliau berkata, empat lelaki itu direman selama 3 hari hingga 21 Januari ini di bawah Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN