fb fb fb fb fb

Wanita warga emas ditemui rentung 80 peratus

Mayat wanita warga emas ditemui rentung 80 peratus di lorong jalan/FOTO IPD PJ

PETALING JAYA, 19 Januari - Seorang wanita warga emas ditemui rentung dalam kebakaran rumah di lorong Jalan SS 22/10, Kelana Jaya, di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa berusia 60-an itu terbakar hampir 80 peratus.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sekitar pukul 3.46 pagi.

"Sebuah kereta peronda polis (MPV) bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal dilakukan mendapati mangsa adalah seorang wanita lingkungan 60-an yang terbakar kira-kira 80 peratus di badannya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati terdapat pemetik api serta botol berhampiran mangsa di lokasi kejadian.

“Pihak polis sedang menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi sama ada mangsa membakar dirinya atau ada unsur lain,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Mengulas lanjut, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis turut membuka kertas siasatan untuk mengenal pasti punca kematian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN