KANGAR, 8 November- Mahkamah Sesyen Kangar mengenakan hukuman penjara 70 bulan dan 10 sebatan kepada lelaki warganegara Thailand selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dadah jenis ganja di Wang Kelian pada Ogos lalu.
Tertuduh, Thanakrit Srichan, dari Satun, Thailand mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Sharifah Nurazlita Syed Salim Idid.
Berdasarkan pertuduhan, Thanakrit didapati memiliki dadah jenis ganja seberat 100.04 gram di laluan import Pos Kawalan Imigresen Wang Kelian, Kaki Bukit pada 5 Ogos lalu.
Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.
Pendakwaan dilaksanakan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis, Nurul Idayu Ismail dan Pegawai Pendakwa JKDM Perlis, Suriati Yahaya manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah supaya memberikan satu hukuman penjara dan sebatan minimum berikutan dia masih mempunyai bapa dan seorang kakak.
Manakala Nurul Idayu pula dalam hujahan, memohon mahkamah memberikan satu hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat.
Bagaimanapun, Sharifah Nurazlita kemudian menjatuhkan hukuman penjara 70 bulan dan 10 kali sebatan dan hukuman dijalankan bermula dari tarikh ditangkap iaitu 5 Ogos lalu.