KUALA LUMPUR, 4 Jun – Mayat seorang lelaki disyaki warga asing ditemukan tertiarap di kawasan lif aras bawah di sebuah tapak pembinaan di Bangsar di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata identiti mangsa belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
"Jadi saya ingin menegaskan, identiti mayat itu belum lagi kita kenal pasti kerana usaha itu akan mengambil masa yang lama, kerana mayat yang dijumpai agak tersorok dan berada di kawasan yang akan sukar untuk dibawa keluar", katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, termasuk mengaitkan penemuan ini dengan mana-mana laporan kehilangan individu.
Difahamkan, mayat lelaki itu ditemukan di kawasan lif aras bawah di tapak pembinaan itu dan sebahagian pakaiannya sudah terlucut.
Mayat kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat dan pengecaman mayat
Ku Mashariman berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) manakala punca kematian masih dalam siasatan.
Terdahulu media melaporkan seorang lelaki warga UK dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat pada 27 Mei lepas berhampiran kawasan Bangsar.
Kehilangan lelaki berusia 25 tahun itu disedari oleh keluarganya apabila telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi malah akaun media sosialnya tidak lagi aktif.