fb fb fb fb fb

Maritim Selangor patah cubaan seludup 40.37kg syabu

FOTO HIASAN

SHAH ALAM, 1 Februari - Seorang lelaki warga Indonesia ditahan dan dadah dipercayai jenis syabu dirampas dalam satu serbuan di Jeti Nelayan Sekinchan, Sabak Bernam, Selasa lepas.

Nilai rampasan dadah dianggarkan seberat 40.37 (kg) bernilai kira-kira RM1.32 juta.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh dalam satu kenyataan berkata, unit risikan dan pasukan geledah dari KM Bagan Datuk telah melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan pada 8.30 malam.

"Semasa pemeriksaan dilakukan, tiga lelaki yang tidak dapat dikenal pasti identitinya telah terjun ke dalam air dan melarikan diri manakala seorang lelaki warga Indonesia berumur 44 tahun dalam pengaruh dadah berjaya ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Hasil pemeriksaan telah membawa kepada penemuan dua bungkusan guni yang disimpan dalam petak simpanan ikan di atas bot tersebut. Kedua-dua guni berisi 38 bungkusan teh cina disyaki dadah jenis syabu dipercayai untuk diseludup keluar," katanya dalam kenyataan.

Abdul Muhaimin berkata warga asing, bot serta dadah itu dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.

"Rampasan dadah itu merupakan yang terbesar bagi agensi berkenaan," katanya.

TETITIA YUSOFF