fb fb fb fb fb

JAS Kedah sita premis proses buangan elektronik tanpa lesen

Foto Jabatan Alam Sekitar (JAS)

SUNGAI PETANI, 1 Februari - Sebuah premis di kawasan perusahaan di Bukit Selambau di sini yang menjalankan aktiviti penstoran dan pemerolehan buangan elektronik tanpa lesen disita, dalam satu serbuan semalam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab dalam satu kenyataan berkata, turut disita 214 palet buangan terjadual dipercayai buangan elektronik dengan berat anggaran 170 tan metrik.

Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti peleburan sekerap logam.

"Siasatan turut mendapati premis ini dipercayai cuba menjalankan aktiviti pemerolehan kembali buangan elektronik dengan mencampurkan buangan terjadual dengan sekerap logam dalam aktiviti peleburan.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan bahawa sisa elektrik dan elektronik tersebut diimport secara haram melalui pintu-pintu masuk ke negara ini. Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang diadakan bagi mengesahkan perkara ini," katanya.

Sharifah Zakiah berkata sisa buangan elektronik merupakan buangan terjadual dengan kod buangan SW 110 berdasarkan Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"Sebarang aktiviti penstoran luar tapak atau pemerolehan kembali buangan terjadual memerlukan kelulusan laporan EIA dan kelulusan Lesen di bawah Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Pemerolehan buangan terjadual secara haram tanpa alat-alat kawalan pencemaran boleh menyebabkan berlakunya pencemaran udara di kawasan sekitar," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Seksyen 34A (6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 34B (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

TETITIA YUSOFF