fb fb fb fb fb

Maritim patahkan cubaan seludup ganja RM45,000

LANGKAWI, 10 Februari- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis berjaya merampas sembilan kilogram ketulan ganja mampat bernilai RM45,000 yang dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran pada kedudukan 2.9 batu nautika barat laut Pulau Dangli sekitar pukul 10.25 malam, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, rampasan itu dibuat berikutan pengesanan curiga oleh Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) Langkawi yang mengesan pergerakan sebuah bot fiber masuk ke perairan negara dari sempadan Thailand dalam keadaan gelap.

Maritim Malaysia Kedah dan Perlis mengerakkan bot peronda yang sedang melakukan OP AMAN ke lokasi bagi memintas dan menyerbu bot fiber itu.

Menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia di lokasi, suspek bertindak membuang satu bungkusan guni ke laut dan menukar haluan untuk berpatah balik menuju ke arah sempadan Thailand.

Hasil pemeriksaan ke atas bungkusan guni yang dibuang itu mengandungi sembilan ketulan ganja mampat yang diletakkan dalam plastik berwarna emas dengan berat sembilan kilogram dianggarkan bernilai RM45,000.

(Foto fail)

Kesemua hasil rampasan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Kes disiasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Media Baharu