SEPANG, 24 Julai- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas dua kilogram (kg) sarang burung bernilai RM8,000 yang cuba dibawa masuk menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.
Pengarah MAQIS Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata sarang burung itu dikesan ketika melalui mesin pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 11.45 malam Khamis lalu.
“Sarang burung tersebut disita oleh pihak MAQIS kerana tidak mempunyai permit import yang sah.
"Sarang burung itu dibawa oleh seorang warga tempatan yang tiba dari Laos," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Perbuatan mengimport sarang burung tanpa permit yang sah dari MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) , Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaaan Malaysia 2011(Akta 728) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3) akta yang sama.
Mohd Sobri berkata, kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata pihaknya akan sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah dan mikroorganisma yang dibawa masuk ke dalam Malaysia adalah bebas dari ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.