fb fb fb fb fb

Maqis Kedah gagalkan cubaan bawa masuk 700 kg longan

Foto Maqis Kedah

PADANG TERAP, 12 Disember- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah menggagalkan cubaan membawa masuk 700 kilogram (kg) buah longan tanpa perakuan sah di Pintu Masuk Kota Putra, Durian Burung.

Pengarah Maqis Kedah Hisham Abu Bakar menerusi kenyataan hari ini memaklumkan rampasan pada Isnin lalu merupakan hasil pemeriksaan rapi pasukan penguat kuasa.

"Buah longan terbabit dibawa masuk tanpa perakuan 3P yang diwajibkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sekali gus melanggar Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Kesemua barang rampasan bernilai lebih RM3,000 itu ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut," menurut kenyataan itu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta 728.

Pada masa sama MAQIS akan menjalankan penguatkuasaan berterusan dalam mengekang kemasukan barangan pertanian secara haram yang boleh mengancam ekosistem dan kesejahteraan masyarakat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI