GEORGETOWN, 24 September - Polis Pulau Pinang berjaya membongkar tempat pembungkusan dadah serbuk methamphetamine (MDMA) bernilai RM1.1 juta menerusi empat serbuan berasingan di sekitar Georgetown.
Susulan itu, empat individu warga tempatan berusia 30 hingga 33 tahun termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan dilakukan antara pukul 9 malam Isnin sehingga pukul 9 pagi Selasa lalu membabitkan pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Kontinjen Pulau Pinang.
Pemeriksaan menemukan serbuk dadah MDMA seberat 7.13 kilogram (kg) yang mampu digunakan sehingga 50 ribu kali", katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis turut menyita lima kenderaan serta barang kemas bernilai lebih RM417,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM1.55 juta.
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis Amphetamine.
"Manakala semakan mendapati tiga daripadanya mempunyai rekod lampau kesalahan membabitkan jenayah dan dadah", katanya.
Kesemua mereka direman selama lima hari sehingga 27 September ini bagi membantu siasatan.