fb fb fb fb fb

Mahkamah Syariah benar bon jaminan terhadap mudir, pembantu mudir

Foto hiasan

SEREMBAN, 26 September -Mahkamah Rendah Syariah Seremban membenarkan permohonan bon jaminan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) terhadap mudir dan pembantu mudir sebuah madrasah di Rembau.

Hakim Syarie Yuhanis Yusop memerintahkan mudir berkenaan berusia 46 tahun membayar bon jaminan RM1,500, manakala pembantunya berusia 54 tahun sebanyak RM3,500.

Mahkamah turut memerintahkan syarat tambahan menyerahkan pasport dan tidak dibenarkan mengganggu saksi serta melaporkan diri setiap bulan kepada Ketua Penguatkuasa Agama Rembau.

Terdahulu, kedua-dua individu itu ditahan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau selepas memberi keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan menerusi Op Global petang semalam.

Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 22 Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam Negeri Sembilan 1996 kerana madrasah beroperasi tanpa kebenaran.

Manakala, pembantu mudir itu turut disiasat mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 pindaan 2019 kerana mengajar ajaran salah serta Seksyen 53 akta sama kerana mengajar agama tanpa tauliah.

JHEAINS membuat permohonan bon jaminan di Mahkamah Rendah Syariah bagi tujuan melengkapkan kertas siasatan dan memastikan mereka hadir pada tarikh sebutan semula kes pada 12 November depan.

ROSLINA BINTI DIN