fb fb fb fb fb

LPPKN perkenal WCaRe, promosi saringan kanser dalam kalangan wanita

Datuk Seri Rohani Karim merasmikan Sambutan Pink October Peringkat Negeri Perlis yang berlangsung di Hospital Pakar KPJ Perlis

KANGAR, 23 Oktober- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) memperkenalkan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita atau WCaRe.

Inisiatif berkenaan bagi mempromosikan program saringan kanser dalam kalangan wanita iaitu Saringan Kanser Serviks melalui Ujian HPV DNA dan saringan kanser payudara menerusi Ujian Mamogram.

Menurut Pengerusi LPPKN, Datuk Sri Rohani Abdul Karim, ujian secara percuma kepada wanita yang layak berkenaan bermula sejak 2022 dan sehingga kini 44,154 wanita merebut peluang menjalani ujian mamogram.

Manakala 30,580 orang wanita pula menjalani Ujian HPV DNA di seluruh negara, di mana daripada keseluruhan kedua-dua ujian seramai 228 orang wanita di Perlis melaksanakan ujian mamogram dan 247 orang ujian HPV DNA.

Perkhidmatan saringan HPV DNA tersedia di semua 49 Klinik Nur Sejahtera LPPKN seluruh negara termasuk Klinik Nur Sejahtera Kangar, manakala saringan mamogram dilaksanakan dengan kerjasama 50 pusat mamogram terpilih seluruh negara.

"Kami berterima kasih juga sebab LPPKN telah diberikan bajet yang sama, RM11.5 juta untuk saringan mamogram dan HPV DNA, untuk dua-dua program saringan bagi seluruh negara, kita alu-alukan wanita tampil ke hadapan"kata Datuk Sri Rohani.

Beliau memaklumkannya kepada media sempena Perasmian Sambutan Pink October Peringkat Negeri Perlis yang berlangsung di Hospital Pakar KPJ Perlis, dianjurkan LPPKN Negeri Perlis, Hospital Pakar KPJ Perlis dan Kolej Komuniti Arau.

Bagi membolehkan lebih ramai wanita di Perlis menjalani ujian mamogram, Hospital Pakar KPJ Perlis bersedia menjadi Pusat Mamogram pertama di Perlis yang akan mula beroperasi pada awal tahun depan.

Usaha mewujudkan pusat mamogram di Perlis menjadi platform terbaik bagi meluaskan jaringan kerjasama antara LPPKN dan Hospital Pakar KPJ Perlis.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE