PADANG BESAR, 5 Jun-Sebuah lori kontena membawa muatan dagangan ayam sejuk beku dari Thailand ditahan penguat kuasa Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Negeri Perlis selepas didapati kontena yang digunakan adalah berasal dari Israel.
Pengarah Kastam Negeri Perlis, Ismail Hashim dalam kenyataannya memaklumkan, kejadian berlaku pada 2 Jun 2024, kira-kira pukul 12.03 tengah hari, selepas kenderaan itu memasuki terowong mesin pengimbas di Unit Dagangan Jalan Raya, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar.
Lori berkenaan memasuki terowong pengimbas itu adalah sebagai prosedur melakukan pengikraran Borang K1 yang bertujuan melakukan pengimportan dagangan ke dalam negara ini.
Semasa proses imbasan imej itu, pengendali mesin pengimbas berkenaan mengesan kontena yang digunakan adalah berasal dari Israel berdasarkan logo ZIM yang tertera pada badan dinding luar kontena itu dan menahannya bagi mendapat pengesahan dan pemeriksaan lanjut.
Hasil semakan bersama pihak agensi kerajaan yang terlibat memaklumkan bahawa kontena berlogo “ZIM” adalah dilarang untuk memasuki Malaysia kerana dipercayai milik syarikat berpengkalan dari Israel.
Lori kontena berisi dagangan diarah berpatah balik ke negara jiran pada hari yang sama.