fb fb fb fb fb

Kes bunuh bapa saudara, polis buat ujian urin suspek hari ini

Suspek dipercayai adalah anak saudara mangsa

KUCHING, 5 Jun- Polis akan membuat saringan air kencing terhadap suspek kes bunuh di Kampung Haji Baki hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Mohd Irwan Hafiz Md Radzi ia bagi memastikan sama ada terdapat pengaruh alkohol atau dadah dalam badan suspek.

Jelasnya lagi pihaknya tidak akan menggunakan sebarang penyataan yang ditularkan dalam media sosial sebagai bukti pendakwaaan.

Siasatan terperinci berhubung kes berkenaan akan melibatkan ujian saintifik, forensik di lokasi kejadian dan kenyataan saksi-saksi.

Dihubungi pemberita RTM di Kuching pagi tadi, beliau turut berpesan kepada warga maya untuk tidak membuat spekulasi di media sosial kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan polis dalam kes terbabit.

Suspek kini direman tujuh hari sehingga Isnin depan.

Pada malam Isnin lalu, seorang lelaki berumur 55 tahun ditemui mati dipercayai ditikam dengan sebilah gunting.

Suspek dipercayai adalah anak saudara mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302, kerana membunuh.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE