fb fb fb fb fb

Lima lelaki termasuk dua remaja didakwa pukul pelajar, mengaku tidak bersalah

Lima lelaki termasuk dua remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun / Foto Bernama

SEREMBAN, 14 Mei – Lima lelaki termasuk dua remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun, dalam kejadian awal bulan ini.

Tertuduh terdiri daripada Shazrin Shah Mohd Norazham, 19; Nur Ariq Farhan Ismail, 21; Nur Ezwan Ezanie Rohaizad, 24; serta dua pesalah juvana masing-masing berumur 17 tahun.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh bersama beberapa individu yang masih bebas didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa di Gelanggang Futsal Kampung Sentosa Jaya, Seremban, sekitar pukul 11 malam pada 8 Mei lalu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka bersama individu yang masih bebas didakwa melakukan perhimpunan secara tidak sah dengan menggunakan kekerasan dan mendatangkan kecederaan terhadap mangsa yang sama, di lokasi dan masa yang sama.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan agar tidak mengganggu saksi pendakwaan sepanjang tempoh perbicaraan.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Jun depan bagi membolehkan laporan perubatan diperoleh, penyerahan dokumen dibuat serta pelantikan peguam disempurnakan.

Sebelum ini, kejadian berkenaan tular di media sosial apabila mangsa yang juga pelajar tingkatan lima mengalami kecederaan di muka selepas dipercayai dipukul sekumpulan lelaki akibat salah faham berhubung dakwaan kononnya mangsa mencederakan adik salah seorang suspek.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN