fb fb fb fb fb

Lima lelaki ditahan, polis rampas ganja bernilai lebih RM142,000

Foto hiasan

GEORGE TOWN, 18 Ogos - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan lima lelaki serta merampas ganja seberat kira-kira 46 kilogram yang dianggarkan bernilai RM142,600 dalam serbuan, di sini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Jumaat lepas.

"Kesemua suspek ditahan berusia dalam lingkungan 38 hingga 56 tahun disyaki ahli sindiket pengedaran dadah yang ditahan di sebuah kediaman.

"Hasil pemeriksaan kemudian menemukan 30 dan 16 ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja masing-masing dianggarkan seberat 29,948 gram dan 16,179 gram dalam dua kediaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain dadah, turut disita dua kenderaan bernilai RM47,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan serta sitaan berjumlah RM189,600.

Menurut Datuk Azizee, risikan mendapati sindiket telah bergiat aktif sejak Februari lepas dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan 92,000 orang atau 92,000 kali penggunaan.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati empat daripada suspek positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC) manakala seorang lagi positif methamphetamine selain dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari hingga 22 Ogos ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI