fb fb fb fb fb

Anak doktor didakwa edar dadah, miliki senjata api

Ahmad Ammar Rusydi Mohd Hanafi dan abangnya, Mohammed Hibatul-Alimi didakwa atas pertuduhan mengedar dadah disyaki jenis kanabis seberat 35.58 kilogram di sebuah rumah di Kampung But, Ketereh pada 5 Ogos lalu

KOTA BHARU, 18 Ogos – Dua beradik, anak kepada seorang doktor, didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas pertuduhan mengedar dadah disyaki jenis kanabis seberat 35.58 kilogram di sebuah rumah di Kampung But, Ketereh pada 5 Ogos lalu.

Pertuduhan terhadap Ahmad Ammar Rusydi Mohd Hanafi, 23, dan abangnya, Mohammed Hibatul-Alimi, 34, dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid dan Wan Mohd Izzat Wan Abdullah.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan berasingan, Ahmad Ammar Rusydi didakwa mengedar dadah disyaki kanabis seberat 14.78 kilogram, manakala Mohammed Hibatul-Alimi didakwa mengedar 20.8 kilogram kanabis.

Kesalahan itu dilakukan pada jam 4.30 petang di lokasi berkenaan.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli dan Nur Haziqah Hassan, sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hasif Hasan.

Mahkamah menetapkan 16 Oktober dan 27 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Ahmad Ammar Rusydi turut didakwa atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenis Glock AEKZ847 Mariner bersama 16 peluru hidup pada tarikh yang sama.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah, tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Bagi pertuduhan itu, Ahmad Ammar didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan maksimum enam kali.

Pendakwaan dikendalikan Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam sama.

Mahkamah menetapkan 22 September untuk sebutan semula kes.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE