fb fb fb fb fb

Lima ditahan pecah rumah, curi kabel di Kota Tinggi

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendent Hussin Zamora menunjukkan peralatan memotong kabel yang dirampas pada sidang media berhubung tangkapan dan rampasan kes pecah rumah dan curi kabel di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi / Foto Bernama

KOTA TINGGI, 8 Julai - Polis menahan lima individu dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan mencuri kabel di sebuah rumah di Kampung Sungai Rinting, Masai di Johor Bahru pada 4 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendent Hussin Zamora berkata empat lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 40 tahun itu diberkas oleh pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada 7 petang menerusi Op Pintu.

Beliau berkata kumpulan itu dipercayai aktif melakukan kegiatan tersebut di daerah Kota Tinggi sejak enam bulan lepas.

"Modus operandi mereka adalah menyasarkan rumah kosong atau melakukan aktiviti itu pada waktu malam ketika mangsa sedang tidur serta merompak barangan yang berada di luar rumah.

"Siasatan awal mendapati mereka mencuri dan menjual semula bagi mendapatkan hasil untuk membeli dadah," katanya pada sidang media di IPD Kota Tinggi, di sini.

Beliau berkata setakat ini jumlah kerugian akibat kegiatan kumpulan itu dianggarkan berjumlah RM147,000.

Tambah Hussin, kesemua suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah serta positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata kesemua individu itu direman empat hari bermula 4 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN