fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia tahan bot bawa lebih penumpang

FOTO MARITIM MALAYSIA

PELABUHAN KLANG, 8 Julai- Sebuah bot membawa lebihan penumpang serta tidak memakai jaket keselamatan ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menerusi OP EHSAN dan OP TIRIS 3.0 semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot yang dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang menuju ke Pulau Ketam itu ditahan pada kedudukan kira-kira 0.3 batu nautika Selatan Tanjung Harapan, sekitar pukul 1.00 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu membawa 45 orang penumpang yang melebihi had dibenarkan dan tidak memakai jaket keselamatan.

"Bot penumpang itu dikendalikan oleh seorang nakhoda dan seorang kru warga tempatan masing-masing berusia 19 dan 40 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua penumpang kemudian dibawa ke Jeti Pulau Ketam, manakala kru dan bot dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut.

Kes tersebut disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana melanggar syarat sah lesen dengan membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan iaitu 11 orang serta tidak memakai jaket keselamatan.

Orang ramai diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia di talian 013-6606652 atau 03-89957820 untuk sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut.

0807 MARITIM TAHAN 2
Dua lelaki membabitkan nakhoda dan kru kapal ditahan untuk siasatan

SITI AISHAH MD ISA