JOHOR BAHRU, 20 November- Seorang lelaki warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan memberi rasuah RM1,000 kepada anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada September tahun lalu.
Tertuduh, Kalayakarente Prasad, 40, yang merupakan bekas pekerja kedai runcit membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Dia didakwa memberi suapan itu di Taman Skudai Baru sebagai dorongan supaya tindakan undang-undang tidak diambil terhadap kedai runcitnya yang meletakkan halangan dan membina struktur kekal di kaki lima premis tanpa kebenaran MBIP.
Kes tersebut didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 4 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Fazal Lisam Abidin, manakala tertuduh diwakili Peguam Muhammad Faizzudin Abd Ra'fik.