fb fb fb fb fb

JKDM Perlis gagalkan penyeludupan barang tidak berkastam, dadah

Antara barang rampasan oleh JKDM Perlis

KANGAR, 20 November- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis berjaya mematahkan cubaan penyeludupan barangan tidak berkastam dan dadah jenis ganja yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM314,000 dengan cukai dan duti mencecah RM334,000.

Kejayaan itu melibatkan lima operasi berasingan di Kangar, Kuala Perlis, Alor Setar, Bukit Mertajam dan kawasan sempadan Malaysia-Thailand antara 28 Oktober hingga 12 November lalu.

Operasi berkenaan turut membawa kepada penahanan seorang suspek serta rampasan dua buah kenderaan.

Menurut Pengarahnya Ismail Hashim, dalam dua operasi pada 28 Oktober serta 7 dan 8 November lalu, pihaknya merampas 146,000 batang rokok tidak berkastam bernilai RM45,912 dengan cukai berjumlah RM101,479 di tiga lokasi iaitu Kampung Perawah, Kangar; Alor Setar Mall dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Selain itu, sebanyak 2,136 liter minuman keras pelbagai jenama turut dirampas di Terminal RORO Kuala Perlis dan Bukit Mertajam pada 6 dan 11 November.

Rampasan berkenaan bernilai RM173,364 dengan cukai lebih RM232,000 dan seorang lelaki tempatan turut ditahan.

Pada 12 November pula, JKDM merampas 30 ketulan mampat dadah jenis ganja seberat 30.145 kilogram bernilai RM93,000 berhampiran tembok sempadan di Pintu Tiga, Bukit Batu Putih.

"Jika dirangkumkan, jumlah keseluruhan kes ini melebihi setengah juta ringgit. Saya juga ingin menjelaskan bahawa JKDM tidak terhad kepada sempadan negeri sahaja.

"Kita boleh menjalankan operasi di negeri lain, seperti rampasan yang dibuat di Pulau Pinang dan Kedah. Ini menunjukkan operasi kami tidak terikat hanya di dalam negeri Perlis," katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat JKDM Kangar di sini hari ini.

Kesemua kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, serta Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

SITI AISHAH MD ISA