fb fb fb fb fb

Lelaki terima ugutan akibat maki hamun rakan serumah

(Cha Hoong Fong/BERNAMA)

KLANG, 8 Januari- Akibat memaki hamun rakan serumah yang lewat menghantarnya ke tempat kerja, seorang operator kilang menerima ugutan daripada sekumpulan lelaki bersenjatakan besi dalam kejadian di Jalan Batu Nilam 13, Bandar Bukit Tinggi 1, Klang, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah, Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi ketika mangsa berada dalam bilik sewanya.

"Mangsa didatangi lima lelaki yang bertindak membuka pintu bilik dengan agresif dengan salah seorang suspek membawa sebatang besi dan cuba untuk memukul mangsa.

"Namun, mangsa sempat menolak suspek keluar dan mengunci pintu bilik serta menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan," katanya dalam kenyataan.

Katanya, susulan kejadian, serbuan dijalankan sepasukan polis dari Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kira-kira pukul 1.35 pagi di lokasi kejadian.

"Dua lelaki warga tempatan berumur 23 dan 26 tahun berjaya ditahan, manakala tiga lagi rakan suspek melarikan diri.

"Polis turut merampas sebatang besi yang digunakan suspek semasa kejadian," katanya.

Menurutnya, punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati kerana mangsa mengeluarkan perkataan kurang sopan dan maki hamun akibat lambat menghantarnya ke tempat kerja pada hari sebelum kejadian.

"Siasatan dijalankan mendapati suspek merupakan pemandu van kilang yang ditugaskan untuk mengambil dan menghantar pekerja kilang termasuk mangsa.

"Semakan rekod mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau," katanya.

Ujar Hoong Fong, kedua-dua suspek direman empat hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Usaha mengesan tiga lagi suspek sedang giat dilakukan," katanya.

(Foto hiasan)

Media Baharu