KUALA LUMPUR, 14 Disember - Seorang lelaki mengalami kerugian RM241,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan ‘phone scam’ yang mendakwa mangsa terlibat dalam kes penggubahan wang haram.
Menerusi kenyataan, Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh berkata mangsa, 47 tahun itu membuat laporan polis semalam selepas menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) pada 6 November lepas.
"Mangsa dimaklumkan bahawa nombor telefon miliknya disalahgunakan sebelum panggilan disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.
"Mangsa turut diberitahu waran tangkap telah dikeluarkan atas namanya dan diarahkan memindahkan semua wang miliknya ke akaun yang diberikan.
"Antara 18 hingga 27 November, mangsa membuat pemindahan wang ke tujuh akaun berbeza sebelum menyedari telah ditipu dan tampil membuat laporan polis.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.