fb fb fb fb fb

Lelaki Rohingya didakwa bunuh rakan senegara akibat cemburu

Lelaki etnik Rohingya, Mohd Salam Mohd Rashid, didakwa di Mahkamah Majistrest, di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh rakan senegara di Kampung Melor pada 17 Oktober lalu.

KOTA BHARU, 30 Oktober- Lelaki etnik Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh rakan senegara di Kampung Melor pada 17 Oktober lalu.

Ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh, Mohd Salam Mohd Rashid, 32, mengangguk faham di hadapan Majistret, Rais Imran Hamid dan tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Salam didakwa membunuh seorang lelaki bernama Nurul Salam Mohammad Sadik, 44, di Kampung Melor, Kota Bharu, antara jam 8 hingga 9.15 pagi pada 17 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan boleh dikenakan minima 12 sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Itah Abu Bakar dan Syazalia Che Suhaimin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagaimanapun tiada sebarang jaminan ditawarkan memandangkan kes berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 31 Januari sebagai tarikh laporan kimia dan forensik.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki etnik Rohingya yang ditemukan mati dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Melor Lama ditikam sebanyak 40 kali termasuk di bahagian dada.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil siasatan mendapati motif kejadian itu adalah disebabkan cemburu kerana dipercayai mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isteri suspek yang berusia 29 tahun.

ZEHRA BINTI ZAMBRI