fb fb fb fb fb

Pemandu lori mengaku tidak bersalah sebabkan kematian pelajar

Tertuduh Norazwan Ismail, 33 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A.Rahman. 

BATU PAHAT, 30 Oktober- Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan memandu dengan melulu sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar Tingkatan 5.

Tertuduh Norazwan Ismail, 33 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A.Rahman. 

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu lori dengan melulu di Kilometer 13.5, Jalan Kluang-Batu Pahat, kira-kira pukul 7.00 pagi, 25 Oktober lalu. 

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih daripada sepuluh tahun serta denda tidak lebih daripada 50,000 serta lesen memandu diendorskan. 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam bela, S.Thamarah. 

Mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan lain. 

Kes disebut semula pada 30 November hadapan.  

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM