fb fb fb fb fb

Lelaki Myanmar didakwa bunuh rakan senegera kerana hutang

tertuduh, Hasang, 24, dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini

KUALA LUMPUR, 26 Februari- Seorang bekas pekerja restoran warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret sini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya yang didakwa berkaitan isu hutang, dua minggu lalu.

Tiada pengakuan direkodkan oleh Hasang, 24, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

Hasang didakwa membunuh Kyaw Kyaw antara pukul 12.00 tengah malam hingga 4.00 pagi pada 13 Februari lalu di gelanggang bola keranjang di taman permainan dekat sebuah kawasan perumahan di Bandar Menjalara, Kepong di sini.

Pertuduhan dikenakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan 12 sebatan minimum.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 28 Mei depan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA